PETALING JAYA – Dua anggota polis unit peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields yang dilaporkan parah ditembak sekumpulan penjenayah semalam berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dua
anggota berpangkat Koperal itu yang kini dirawat di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM) bersemangat untuk kembali bertugas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kedua-dua anggota polis itu di PPUM di sini hari ini.
Khalid yang diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh,
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dan Ketua
Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid meluangkan masa
kira-kira 20 minit melawat mangsa yang ditempatkan di Tingkat 6 dan 7
pusat perubatan itu.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang semalam itu, dua anggota
berkenaan ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah
kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di
kawasan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di
sini.
Tembakan tersebut menyebabkan Koperal R. Subramaniam, 52, cedera di
bahagian perut dan rakan setugasnya Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41,
cedera di leher.
Bagi Subramaniam, kejadian itu merupakan pengalaman pahit pertama yang dilaluinya sejak menyertai pasukan polis 31 tahun lepas.
“Semasa saya dan Azlan menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba saya lihat seorang daripada empat suspek di dalam kereta mengeluarkan pistol dan menembak ke arah kami.
“Kejadian berlaku sangat cepat. Kami sempat membalas tembakan sebelum
rebah di tempat kejadian,” katanya yang mempunyai seorang isteri dan
dua anak berumur 23 dan 28 tahun.
Khalid berkata, dua anggotanya turut melepaskan tembakan ke arah
suspek sebagai mempertahankan diri namun tidak dapat dipastikan sama ada
mengenai sasaran dengan penjenayah berjaya melarikan diri.
Sementara itu, Ku berkata tiga das tembakan telah dilepaskan anggota
berkenaan ke arah suspek dan dipercayai telah terkena tangki minyak
kereta Proton Saga yang dinaiki penjenayah.
Tembakan itu menyebabkan berlaku kebocoran pada tangki petrol dan
telah memaksa mereka meninggalkan kereta yang dinaiki kira-kira satu
kilometer dari tempat kejadian sebelum melarikan diri dengan berjalan
kaki, katanya.
Beliau berkata, polis belum dapat mengenal pasti identiti empat
penjenayah terbabit, manakala siasatan mendapati kereta yang digunakan
bukan kereta yang dicuri sebaliknya telah dijual oleh pemilik asal
kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment