KUALA LUMPUR 20 Sept. - Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang di sini hari ini, atas
dua pertuduhan iaitu mencabul dan merogol dua wanita.
Di Mahkamah Majistret, Ahmad Farid Abdul Jalil, 19, dari Cheras Baru,
didakwa mencabul rakannya yang berusia 23 tahun, di dalam sebuah kereta,
di tepi jalan Lebuh Raya Hulu Langat, Ampang, pada 8.22 malam, 13 Mei
lepas.
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun
Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10
tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika
sabit kesalahan.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan Ahmad Farid diikat jamin
RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu dia
tidak boleh mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 6 Nov untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene.
Di Mahkamah Sesyen, Ahmad Farid didakwa merogol seorang pelukis draf
berusia 22 tahun, di kawasan lapang Menara Tinjau, Jalan Ampang,
Selangor, pada 12.30 malam, 11 Sept lepas.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan
(Akta 574) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau
dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit
kesalahan.
Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000
dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Okt untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment